บทความ วรรณกรรม วรรณกรรมมลายู

Keluhan dan Harapan

Hitam – putih
Gelap – terang
Bengkok – lurus
Miskin – kaya
Lemah – gagah
Adalah realiti hidup serba kontradiksi.
Demikianlah lumrah hidup.

Tapi…
Jika hitam bertambah kelam.
Jika gelap diselubungi gelita.
Jika bengkok berkekal kekok.
Jika miskin dilanda kedana.
Jika sedih diamuk resah.
Jika derita ditimbun sengsara.
Jika luka bertambah duka.
Ianya petanda kebekuan sebuah generasi
Yang pernah berpotensi.

Bumiku tercinta.
Sampai bila kau menghiasi jasadmu dengan darah dan malapetaka.
Sampai bila aku dibuai mimpi ngeri dan nostalgia luka.
Sampai bila peristiwa misteri merajalela.
Air mata duka mengalir dalam sungai riwayat.
Yang sering terusik oleh kerakusan zaman.
Musuh merusuh dalam rumah sendiri.
Saudara kandung menjadi saudara tiri.

Sampai aku terfikir.
Apakah hidup ini hanya untuk menikmati sebuah peperangan.
Yang tidak berdalang.
Apakah hidup ini hanya untuk menyapu air mata duka.
Hanya untuk mendengar dodoian peluru tembakan.
Dan hanya menyaksi mayat-mayat yang bergelimpangan.

Dalam gelora hidup yang dilanda ribut taufan.
Ku lihat sebarisan remaja sedang berfoya-foya.
Tenggelam dalam lautan maksiat.
Dan gejala dadah durjana.
Kaum bapa asyik berjenaka di warong kopi.
Bersama sang ciak jambul dibawa sana sini.
Semua gelanggang pertandingan telah sertai.
Namun masih setia menadah tangan kepada isteri.
Mencari semangat tuah dan keramat tok wali.
Berbuahlah pisang tiga kali

Dalam gelora hidup yang dilanda ribut taufan.
Ku lihat manusia alpa pada Maha Pencipta.
Barisan pemimpin asyik berpesta.
Para ilmuan membisu seribu bahasa.
Memenuhi hidup yang tersisa.
Melihat anak didik yang jauh tersimpang jalan.

Umatku harus tenang.
Mengekang pesta laknat ini.
Merculah al-quran dan Sunnah nabi.
Terbanglah,
Walau ke pohon yang terbelit onak dan duri.
Kendati ke rumput yang tersembunyi ular dan semut api.
Terbanglah.
Kerana maruah dan harga diri.
Kerana ilmu dan jati diri.
Kerana taqwa dan iman murni.
Akan menghantarmu ke destinasi unggul dan ternama.
Tunduklah kepala .
Angkatlah kedua telapak kita.
Dan panjatkan doa bersama.
—————
Nukilan : Ibnu Desa
Nad Kubur, Patani
18 Jamadussani 1430
1 Mei 2010

#pray_for_Patani